Abah pergi tatkala itu dan membawa separuh nafasku. Hanya beberapa detik sebelum berbuka, saat terakhir ku tatap wajahmu. Hanya aku, dirimu dan Tuhan yang tahu apa ada di dadaku tatkala ku sempurnakan baringanmu di lahadmu. Hanya Tuhan yang tahu..
Ketika kulepaskan jasadmu dalam pandangan tegap mataku (sedang kalbuku longlai merintih pemergianmu), kuratah seluruh inci tubuhmu dalam kafan putih itu. Bukanlah sahaja kerana kubimbang tidak akan menemuimu lagi sehingga ke akhir dunia, tetapi bimbangku juga kerana takut aku gagal menyempurna setinggi penghormatan terakhir kepadamu.
Tatkala kuheret kaki keluar dari kotak pembaringanmu, sunyiku tanpamu bermula. Tiada lagi nyaring batukmu mengisi malam malamku..Tiada lagi gegar dehemmu mengisi ruang tamuku..Tiada lagi gema suaramu di cuping telingaku..
Tatkala kututup ruang itu dengan papan kayu, sembilu rinduku bermula. Tiada lagi senyumanmu di hadapan mataku, tiada lagi matamu di hadapan wajahku, tiada lagi wajahmu menerjah hari hari kehidupanku..
Saat itu baru kutahu bahawa segala yang menjengkelkan dalam pandanganku sebelum sebelum itu yakni dari teguranmu sampai ke diammu, nilainya lebih bermakna dari dunia dan segala isinya..
Saat itu baru kutahu, apa itu rindu..pada susukmu, pada bayangmu dan pada kedut tanganmu yang gagal kukucup kini setiap pagi aidilfitri..
Aku masih rindu padamu...aku masih rindu padamu Abahku...
kamal fnd hashim