Monday, November 12, 2012

Bacaan hati

Apa perasaan dan fikiranku tatkala terlantar di pinggir lambaian maut? Tenang..ya.. tenang seperti biasa biasa sahaja! Ahh, masakan tak memikir hal liang dan lohong? Kalau yang itu, hari hari kubelum berhenti memikirkannya dan tidak perlu sekali ini sahaja terpaksa terfikirkannya! Jujur!


Barangkali ramai yang khilaf dalam mendepani saat kematian. Ya, benar putus hubunganmu dengan semua nikmat di dunia! Tetapi bukankan itu juga bermakna kau akan temui semula insan2 yang pernah kau tangisi dan rindu pemergiannya?Subhanallah! Bagaimana engkau boleh melupakan itu?

Barangkali ramai yang lebih gusar akan bekalan dibawanya. Ya, benar patut kau khuatirkan sama ada kanan atau kiri tempatmu! Tetapi bukankah Dia Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi? Subhanallah! Bagaimana engkau boleh melupakan itu!!!?

Mahu kau kau kalau kukongsikan satu dari perbendaharaan syurga?

La Haula Wala Quwwata Illa Billah

Setiap nafas yang dihirup bahkan mendekatkan lagi dirimu ke nafasmu yang terakhir. Tahniah jika kau masih redha dan berjaya menundukkan was wasmu.

kamal fnd hashim



Thursday, August 25, 2011

monolog 13

25 ramadhan. 13 tahun berlalu. Rindu yang masih 1.

Abah pergi tatkala itu dan membawa separuh nafasku. Hanya beberapa detik sebelum berbuka, saat terakhir ku tatap wajahmu. Hanya aku, dirimu dan Tuhan yang tahu apa ada di dadaku tatkala ku sempurnakan baringanmu di lahadmu. Hanya Tuhan yang tahu..

Ketika kulepaskan jasadmu dalam pandangan tegap mataku (sedang kalbuku longlai merintih pemergianmu), kuratah seluruh inci tubuhmu dalam kafan putih itu. Bukanlah sahaja kerana kubimbang tidak akan menemuimu lagi sehingga ke akhir dunia, tetapi bimbangku juga kerana takut aku gagal menyempurna setinggi penghormatan terakhir kepadamu.

Tatkala kuheret kaki keluar dari kotak pembaringanmu, sunyiku tanpamu bermula. Tiada lagi nyaring batukmu mengisi malam malamku..Tiada lagi gegar dehemmu mengisi ruang tamuku..Tiada lagi gema suaramu di cuping telingaku..

Tatkala kututup ruang itu dengan papan kayu, sembilu rinduku bermula. Tiada lagi senyumanmu di hadapan mataku, tiada lagi matamu di hadapan wajahku, tiada lagi wajahmu menerjah hari hari kehidupanku..

Saat itu baru kutahu bahawa segala yang menjengkelkan dalam pandanganku sebelum sebelum itu yakni dari teguranmu sampai ke diammu, nilainya lebih bermakna dari dunia dan segala isinya..

Saat itu baru kutahu, apa itu rindu..pada susukmu, pada bayangmu dan pada kedut tanganmu yang gagal kukucup kini setiap pagi aidilfitri..

Aku masih rindu padamu...aku masih rindu padamu Abahku...


kamal fnd hashim

Saturday, August 20, 2011

Jumaat yang pertama.

Berdedai airmata dan sebak dada. Terik mentari seakan bantut seketika. Hanya aku di situ. Hanya aku.

Pada jumaat sebelum sebelum ini, aku hanya mampu bermenung mengenang untung nasibku. Mentelah hanya jiwaku yang bersedia dengan semangatnya. Jasadku hanya sebagai syarat sahaja.

Gagalku sebelum ini kerana tubuhku belum bersedia. Masih lagi terikat dan dibebat. Gagalku kemudiannya juga kerana musafir yang harus dalam kelongsong tubuh yang masih dipasung.

Dan baru baru ini baru kujumpa jumaatku yang pertama. Aduhai..kerdilnya aku kalau dibanding dengan kurnia itu! Saat dapat mengalirkan air ke tangan yang cedera dan berjahit buat kali pertama, aku sudah goyang jiwa. Saat dapat berdiri memulakan pertemuan itu, kaul, fiqli dan kalbiku kiblatnya satu.

Ar-Rahman! Tatkala sempurna dahi dan pancainderaku melekap sujud padaMu tanpa perlu berisyarat isyarat sahaja setelah sekian lama, mana mungkin dadaku mampu menahan hibanya! Manusia mana yang tak luruh hatinya!

Saat yang sangat kurindukan dan Kau kabulkan..Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang dapat engkau dustakan? Allahu Akbar!!

kamal fnd hashim


Saturday, June 25, 2011

Hahaha

Lama deme tak nulis yob?..teguran dari sorang kenalan. Kebetulan dia orang perak. Ate memang pekat le peraknya!!he he he..sori Yob!

Sebenarnya, hero malaya ni ketandusan laptop! Bila teman (eh, aku orang johor le!) nak pakai tablet, nulisnya tak syok..tercatuk catuk macam ayam pagut jagung hancur..sebijik sebijik! Yang membawa kita ke persoalan seterusnya:-

Semakin kita moden, kita semakin primitif

Eh, biar betul? Betul!!

Ceritanya gini- kereta asalnya ada gear manual, kita lebih senang dengan auto. Rumah dulunya pakai kipas satay, kita tukar dengan kipas dan lepas tu pendinginhawa. Pagar dulu pakai spring je ala ala kampung, kita pasang pagar karan! Tapi, itulah nikmat moden kan? apalak salahnya??

Gini, moden itu interpretasinya barangkali di lidahmu hanya. Bukankah kita ada sistem berparlimen. Kenapa mahu terlalak lalak di tengah jalan menyusahkan diriku? Atau dek kerana perjuangan dan nikmat kemerdekaan yang lopong di dadamu?

Terserah padamu untuk mengikut aliran ideologimu. Tetapi janganlah kerana mahu menunjuk modenmu hingga terpadam logik akal dan iman di dadamu. Daripada bersorak hingga kampung tergadai, apakan terlupa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung?

Aku juga anak malaysia yang berhak menikmati hidupku dengan tenang. Tahniah kerana kau hanya membuktikan bahawa akalmu masih terjajah dan dijarah sedang rakyat2 kerdil sepertiku telah lama merdeka. Takziah kerana rupanya kau masih alpa sejarah negaranya!

kamal fnd hashim






Monday, April 4, 2011

Ada ka!!

1. Bila seseorang itu badannya berisi, cara terbaik untuk membantutkan proses itu adalah berdiet dan bersenam. Dia juga harus tahu bahagian yang mahu disasarkan turun. Contohnya, pinggang, perut dan peha. Kemudian, dia harus mensasarkan senaman terutamanya nya ke bahagian itu, kan?

2. Bila seseorang telah berhempas pulas, katalah setahun, dan akhirnya nyata beza dahulunya dan sekarang, maka kita boleh anggap dia telah berjaya. Kita harus sahaja mengucap tahniah di atas keazamannya dan kesungguhan, kan?

3. Ironinya, bila telah dimaklumkan penurunan 35% kadar jenayah jalanan, para skeptik sibuk menghentam! Terlupa barangkali lebih 32 ribu orang, yang sepatutnya menjadi mangsa, dapat dilindungi dan diselamatkan dengan inisiatif yang diambil PDRM.

4. Bukankah itu seolah olah menghentam orang yang berjaya menguruskan badannya itu? Tanpa mengucapkan tahniah (yang sepatutnya dilakukan), sedapnya mulut berkata dengan skeptik dan sinis- " alah, kau tu kurus memang dah kurus. Tapi kaki kau tetap pakai saiz kasut yang sama!".

Kalaulah pembaca ruanganku ini yang, setelah berhempas pulas bersenam, berdiet dan berusaha, turun 30kg, tiba tiba ada yang kata begitu, bagaimana agaknya responmu?

kamal fnd hashim


Thursday, March 17, 2011

Maruah Raja2 & TYT

1. Sama ada sengaja atau terlepas pandang, lelah melihat maruah Raja2 Melayu dan Tuan Yang Terutama Negeri2 sentiasa dipersenda dan diperkotak katik. Eh? betul ke ni? Ya, betul! Tapi bagaimana? Begini, terlalu ramai musang berbulu ayam yang hidup di pasaran dengan cara yang begitu halus; tak nampak dek mata. Eh, apanya? Begini ceritanya-

Bukanlah terlalu janggal melihat gelaran pada nama seseorang- Dato', Datuk Paduka, Datuk Seri dan sebagainya. Kesemua gelaran ini datang dari Raja2 dan TYT2 untuk mereka yang berbakti, barangkali. Cuma akhir akhir ini, terlalu ramai yang sewenangnya meletak gelaran itu yang tidak dikurnia oleh Raja2 Melayu atau TYT. Lebih malang, tindakan tidak dapat diambil kecuali jika mereka itu memang terlibat dengan penipuan/jenayah dan sebagainya sahaja!

Maka itu, kenapa tidak kita buat undang2 ataupun mewartakan gelaran itu sahaja sebagai pencegah khusus buat mereka yang curang dan sengaja menggunakannya? Bahkan gelaran ini, dari luar negara yang setengahnya hanya wilayah adat malah palsu, turut tidak diiktiraf bukan?

Barangkali hanya aku sahaja tetapi tidakkah mata kalian melihat maruah Raja2 Melayuku dan TYT2ku dilenyek oleh si pendusta? atau memang itu yang kau mahukan seraya dayus membenarkan?

kamal fnd hashim

Monday, February 14, 2011

Simpang Rengam.

Tanah itu masih sama. Udara itu masih sama. Kayu dindingnya juga sama. Yang berbeda hanya masa dan sekitarnya. 1254 A, Lorong Kelantan 2; rumah tempat dibesarkan hingga menjejak remaja.

Saat pertama tiba, ku cium bumi kem bn 5 itu kerana bersyukur dengan kurniaNya. Mentelah mengenang detik kecil sehingga dewasa dan bagaimana dibesarkan oleh kedua orangtua.

Benar kata orang, tak nampak batang hidung nampak bumbung pun jadilah buat pengubat rindu. Berjalan dan papan pintu rumah itu, kenangan sepanjang 14 tahun bermain di fikiran. Dan pengecasnya adalah sentuhan tanganku dengan daun pintu itu.

Peliknya, kalaupun abah sudah tiada, seolah mata dapat melihatnya. Tanpa menyangka insan kerdil sepertiku satu hari dapat mencipta sejarah, ku lewati juga tempat kerja abah. Terngiang ngiang suara abah di sebalik bau diesel dan tong drum didalamnya. Nampak abah di ruang mataku..jelas.

Dan nampak juga usaha emak yang mengayuh basikal menghantar ku ke sekolah agama kem. Cuma bila sahaja dia berpaling, aku lantas ponteng! Ahh, nostalgia!Dan kem ini tetap menjadi kompas hidupku. Dan aku juga sebahagian daripadanya.

Maaf abah kalau aku tidak cukup sayu kerana pada kali ini aku dapat merasa kebanggaanmu padaku.

kamal fnd




i feel your pain

i feel your pain
audrey & nurul hanis