Thursday, August 21, 2008

Semalam bermula akhirku..

20 Ogos 2008

Masihkah aku dalam ingatanmu
atau telah kau padam segalanya
sedang kau tertawa penuh gembira
aku masih begini sahaja..

Masakan aku dalam nafasmu
yang penuh leka dalam dunianya
sedang kau hidup di alam nyata
aku di sini terlantar merana..

Semalam bermula akhirku
lesu pilu ranap impianku
roboh sudah makna kehidupanku
diragut durjana tak kenal siapa

Semalam berakhir mulaku
roboh runtuh istana muliaku
berkali cuba kumenolaknya
ternyata hanya sia sia..

Hanya ini pintaku
sesaat sahaja setiap masa
kenanglah aku dalam doamu
hilangkan rindu dalam diriku..

Buat rakanku dan keluarga
izin kupergi dalam redhamu ya...


Buat permata hatiku NURIN JAZLIN JAZIMIN yang hilang pada 20 ogos 2007;-

Ini tahun pertamamu adik dan aku masih belum gagal mengingatimu. Airmataku masih jatuh dan tersimpan buatmu. Ya, aku redha dengan ketentuanNya.. cumanya aku juga manusia..


kamal fnd hashim

Sunday, August 17, 2008

Lelaki ini

17 Ogos 2008

Di situ aku berdiri kaku. Di situ aku berdiri lesu. Bahkan nafasku juga sebak dan dadaku mula sesak. Hanya ada aku yang berdiri dengan pilu.

Hampir setahun kakiku tidak menginjak tanahmu. Hampir setahun kau juga (barangkali) tidak melihatku dari peraduanmu. Cumanya, sebahagian darimu terus bersama detik jantung.

Hari ini, Tanah Perkuburan Islam Kg Melang Tengah masih sepi. Berceracak nisan yang tidak pernah kurang. Dan di bawah pohon tembusu, di situlah pusara Abah. Monumen seorang lelaki yang tabah dan menjadikan aku begini.

Entah kenapa Abah, seminggu dua ini aku begitu rindu padamu. Barangkali kerana aku semakin jauh sedangkan kau tentunya tidak kemana mana; tetap di posisimu. Barangkali juga kerana aku cuba menduga apakah kau kini bahagia atau sengsara?

“ Tampar kang berdamar!”- kata kata yang suatu ketika dulu ku benci tapi kini ku rindu sekali!!(Aneh kerana cumanya ia tidak pernah kau lakukan. Dan hanya aku yang berburuk sangka.)

Benar kata pendeta, kuburan menghasilkan seribu kenaangan. (Cuma bagiku, kuburan juga mendatangkan kerinduan…) Dan aku masih berdiri cuba mengumpul kata kata..

Dan lelaki ini buat kali pertamanya punya kekuatan melafazkannya. (kalau kalau kau bisa mendengarnya, hadirlah kalaupun sebentar dalam mimpiku malam nanti ayahandaku)

“Abah, ini anakmu kamal Affandi. Kamal jugak sayang abah sebenarnya”

Dan mataku banjir .

(menangis bukan kerana tiada redha atas pemergiannya tetapi kerana sifatku sebagai manusia)

- Ya Allah, masukkanlah kedua ibubapaku ke dalam syurgaMu yang tertinggi tanpa hisab

Kamal fnd hashim

Saturday, August 16, 2008

tanpa makna

16 Ogos 2008

"Entah apa silapnya, udara Sabtumu berbeda dengan Sabtuku..atau apa ruang nafasmu yang menyempitkan dada? Lalu, bagaimana untuk berlapang dada? Mudah. Kau hirup sahaja nafasmu sedalam dalamnya dan beritahu kalbumu yang engkau ingin hidup jujur..kalau kau punya sebatas sahaja, tanam dan semai hingga jadi dua batas dan seterusnya..."

Ada ketikanya saya juga kecewa (khusus bila aku cuba menjadi manusia). Ada kalanya saya juga merasa hiba (khusus bila aku cuba menjadi seorang orang). Tapi, saya terus juga melangkah dan mengheret diri ke hadapan..tanpa sesal tanpa silu. Noktah.

Kalaulah masa dapat diterbalikkan, saya tetap akan melalui jalan yang sama ini. Bahkan barangkali lebih gagah kerana pengalaman mendewasakan dan mengajarku erti pengorbanan.

Bila bila ada yang lain mengatakan mereka mahu mati sahaja( daripada melalui kehidupan), maka saya akan bertanya,' adakah kau pasti? atau kau hanya tidak mahu hidup?'

Ini 2 dunia yang berbeza. Mahu mati? Ahh..jangan susah susah bagitahu dunia! Terjun atau tenggelamkan sahaja dirimu yang tidak mempunyai apa apa makna itu. Kan kau mahu mati? Perlu apa kau menyebut tentang dirimu lagi kepada sesiapa sahaja?

Cumanya kalau yang kau sebenarnya hanya tidak mahu hidup, makanya beritahu kepada seorang dua. Mudah mudahan kau akan mendapat bantuan dari mereka yang mengenalimu..

Entah apa sebabnya, kadangkala ramai daripada kita yang keliru dua perkara ini. Mahu mati atau sekadar tidak mahu hidup? Jurangnya bak langit dan dasar neraka. Mahu mati kerana kecewa, gagal dan ranap cinta misalnya? Eh, bukankah kau menghukum dirimu? Perlu apa kau melihat gagalmu sahaja? Atau kau memang suka yang lain tertawa?

Bangkit!Bangkit!! Lihat kelilingmu. Belum pernah sejarah manusia tiada hiba. Adam dan Hawa juga terfana, inikan pula kita manusia!! Yang penting, kau tetap berjuang dan mara. Bukannya menangis melihat kegagalanmu sahaja tetapi melangkah membawa semangat membara; bahawa kali ini atau seterusnya kau akan berjaya.

Tiada kejayaan tanpa usaha; yang cekal dan tabah sahaja yang berjaya.

(Lebih baik begitu kalaupun tanpa makna..)

kamal fnd hashim

Friday, August 15, 2008

Tamat Berkabung

15 Ogos 2008

Hari ini genap 30 hari saya tidak mencatat apa apa di blog ini. Tentu ramai yang bertanya kenapa? Mudah. Saya dapati dalam blog dan juga chatbox saya ramai yang bercakap soal politik.

Kalau nak bercakap soal politik, ini bukan tempatnya. Carilah blog blog lain. Blog ini soal harga nyawa manusia tak kira siapa. Saya muak dengar sembang politik. Saya muai dengar cakap cakap berdegar degar tu. Hapah tak jadi apa pun.

Jadi, ambil iktibar dan peringatan ini ya. Kenapa?

Ini soal prinsip. Sedang yang lain leka mempertahankan hujah dan perjuangan peribadinya (supaya tidak terbantut cita cita dan kepentingannya), saya masih juga bermandi keringat dan darah berseorangan dalam perjuangan menyelamatkan nyawa.

Zaman oh zaman..

Ramai yang berkobar kobar panjat tiang dan pokok memasang bendera, bercakap soal maruah bangsa, agama dan negara sedangkan dalam hatinya lain bicara. Semua nak jadi ketua dan juara. Dan adik adikku masih diratah tubuhnya oleh haiwan biadap terhadap bangsanya sendiri...

Kalaulah ada yang kuat dan tegap( memanjat pokok kelapa memasang bendera pilihanraya), di manakah dia semasa Nurin Jazmin Jazimin merintih diseksa? Kalaulah ada yang bijak laksana(bercakap konon mengangkat martabat ekonomi bangsa) dimanakah dia semasa si tua 73 tahun Asiah Pandak (masih lagi menoreh getah sepanjang hayatnya) dihempuk kepalanya seraya dirogol bunuh?


Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?


kamal fnd hashim

i feel your pain

i feel your pain
audrey & nurul hanis