Thursday, January 13, 2011

Barangkali hanya aku.

1. Sebenarnya abah, anakmu masih sayu dan pilu. Masih bugar dalam ingatanku kehilangan dan pemergianmu. Hari ini genap 13 tahun tanpamu. Dan aku masih mengingatimu..semakin nyilu merinduimu.

Kalaulah abah ada, pasti kau akan tersenyum melihat berbaloi jerihmu membesarkanku. Kalaulah abah ada, pasti aku akan tersenyum melihatmu gembira. Hanya sahaja aku masih tegar meneruskan amanahmu berhadapan dunia sebagai seorang yang perkasa sedang batinku, sesungguhnya, menangis sengsara..

Barangkali hanya aku yang mesti tabah menderita kerana dirimu dalam jagaan Tuhanku; Yang Maha Pemurah, Yang Maha Mengasihani. Yang mendengar doa sebelum tidurku; Ya Rahim masukkanlah kedua ibubapaku ke dalam syurgaMu yang tertinggi tanpa hisab. Dan disitulah selayaknya tempatmu.



Wednesday, January 5, 2011

Saat itu.

1. Al-Fatihah buat Zul Massa, Din Beramboi, Shamrin Fotograf dan terbaharu, Faizal Yusof. Kecuali Zul Massa, yang lain merupakan kenalan akrabku. Zul tak pernah jumpa pun tetapi selalu teringat padanya. Kenapa teringat? Sebab orang lain selalu lupa!

Berbanding P Ramlee, AR Tompel, Sudir dan yang lain, mereka seperti Zul Massa selalu dilupakan kerana tidak sepopular nama nama besar itu, barangkali. Dan hanya kerana itu, sangat sedikit, kecuali keluarganya sahaja yang akan mengingati. Justeru, apakah perlu kita kenal seseorang itu terlebih dahulu sebelum dapat berdoa untuknya?

2. Antara hidup dan mati itu, meminjam kata2 Pramoedya Ananta Toer dalam Keluarga Gerilya, hanya ada masa beberapa detik. Dan seketika tahun lepas, ketika terlantar di ranjang hospital, pernah juga terlintas untuk tamat bernafas. Kerana terlalu lesu dengan kondisi tubuh, mentelah jerih untuk menghela nafas, berserah sahaja langsung kepada Yang Esa.

Dan saat itu yang bermain dalam ingatan bukan perihal kematian dan nikmat dunia yang bakal ditinggal. (Saat saat sama syaitan membisikkan ketakutan kepada legasi peninggalan, kebimbangan kepada insan yang bakal kutinggalkan dan kekalutan persoalan kematian itu.) Yang berlegar dalam minda ketika itu, jujurnya sambil kutersenyum, hanya sahaja redhaku atas hidupku, matiku, agamaku dan Tuhanku.

Apakah perlu bimbang kalau Yang Maha Pencipta, yang selama ini menetapkan rezeki dan laba serta ketentuan hidup matimu, telah juga menetapkan saat itu untukmu? Bukankah Dia Maha Mengetahui rahsia kenapa dipilih saat itu? Dan bukankah Dia juga Maha Mengasihani kalaupun bekalan akhiratmu sedikit sepertiku?

Al-Fatihah buat semua yang mendahului daripada kita semua yang bakal menyusuli.

kamal fnd hashim


i feel your pain

i feel your pain
audrey & nurul hanis