Saturday, October 12, 2013

Bicara Jiwa

Ahh ramai sekali rupanya yang risau tentangku lewat panggilan dan sms yang kuterima!Lalu, aku jatuh malu kerana mencuri ruang dalam detik kehidupan semua orang itu sedangkan ada yang aku langsung belum pernah berbudi kepadanya waima sebesar zarah sekalipun. Terharu. Noktah.

Iya aku masih bernafas. Cuma semakin kuhela, semakin berat rasanya kerana membikin semua gusar dan galau. Perlukah kupendam dan diam sahaja lantas perlahan lahan menarik diri dari dunia? Dan aku pula telah merenggut hak mereka untuk terus menikmati kehidupannya?

Terkadang menyoal diri sendiri apa perlunya. Adat hidup saingnya mati. Dan sementara itu harus kuisi dengan kebaikan dan tidak memberatkan siapa siapa. Jika kehadiranku menambah rengsa, bukankah itu bermakna kewujudanku menjadi beban cuma?

Tetapi harus kuakui, dengan geringku juga Tuhan menganugerahkan sesuatu untuk aku dan mereka; membuktikan kepadaku bahawa pertolongan datang dalam pelbagai cara dan makna, membuktikan kepada mereka bahawa mereka masih punya hati dan besar jiwa. Maha Suci Engkau Ya Allah yang sentiasa mengingati kami sedangkan kami selalu lalai dari mengingatiMu..

Tuhanku, berkatilah kehidupan saudara2ku yang menghulurkan bantuan kepadaku. Aku ini segan meminta minta tetapi aku akur Engkau merencanakan segalanya. Tuhanku, berilah mereka pertolongan di hari tiada siapa yang mampu menolong kecuali Engkau kerana mereka ini telah menolong meringankan ujianMu kepadaku.

Dari 9 oktober 2013 lalu, $4,320 telah mereka hulurkan kepadaku bagi menambah apa yang tiada, tanpa silu tanpa bertanya. Kalaupun tidak mencukupi atau mencukupkan, aku bersyukur kerananya. Sesungguhnya, akupun telah berusaha mencarinya dan masih mencoba tetapi kendati semangatku cekal, jasadku yang lemah membatasi usaha.

Apapun, aku tidak akan mengeluh. Sebaliknya, aku akan terus mengagahkan diri menghadapi segalanya, berusaha dan terus berusaha dengan apa yang ada dan juga apa yang telah tiada padaku selayaknya sebagai seorang manusia.  Harapanku hanya satu:- kalaupun terpaksa kuheret tubuhku, izinkan aku terus punya jiwa seperti mereka, yang mengabdikannya dan terus berpaksi kepada Sang Pencipta. 

Kamal fnd Hashim



2 comments:

ochii miyake said...

Touching :(
585

Nina Najib said...

Keep on fighting! La tahzan innaLlaha ma'ana.

i feel your pain

i feel your pain
audrey & nurul hanis