Friday, June 13, 2008

Barangkali itu lebih baik untuknya

1000 am

Anak kecil itu merenung jauh. Dihela nafasnya dalam dalam...sayup. Sekali imbas tampak dia masih lagi bernyawa. Masakan yang tidak bernyawa boleh duduk seraya tangan memegang pensil warna dan melukis!Bahkan! Tapi, kalau sesiapa berpeluang melihat matanya, yang ada hanya tiada.

Barangkali hanya perasaan saya sahaja yang begitu. Barangkali saya hanya menelah dan tersasar jauh. Tapi ini kisah benar. Hakikat bahawa, menerusi mata adik kecil itu, terpampang riwayat hidupnya untuk dirasa.. bahawa prasangka dan firasat saya membaca alunan kehidupannya yang berbeda...penuh dengan nyawa tapi tanpa makna!

Dan saya tercampak ke realiti bila melihat sekeliling. Di celah kelapa sawit yang bangka dan longkang yang keruh airnya, Fatiha hanya satu nyawa. Satu statistik sahaja. Satu tanda bulat pada papan percaturan daftar kelahiran manusia.

Tak siapa peduli tentang masadepannya. Mentelah, Fatiha lahir tanpa kedua dua kaki akibat gen orangtuanya. Dia anak istimewa kata massa. Habis tu, kenapa? Apa yang istimewanya?

Istimewanya barangkali hanya wujud dalam bulan puasa sahaja. Pada ketika itu, dirinya dirai bak Permaisuri Sehari. Penuh manja dan kasih belasan. Bak menatang minyak yang penuh, kata setengah orang. Ada saja yang datang menyampaikan sedekah dan pakaian; kalau ramadhan masih mengambang, Tuhan begitu dekat barangkali!

Hanya 1 bulan itu Fatiha "wujud" di kalangan manusia tapinya. 11 bulan lagi, dia hanya satu dot yang tidak memiliki makna kepada sesiapa (kecuali orangtuanya). Salah siapa ya? Apakah mata kita perlu buta? Atau hati, takdirNya, hanya terbuka di bulan puasa?

Mana lebih afdal; lebih baik tiada daripada ada kerana hanya membawa sehama makna?ATAUPUN, lebih baik ada daripada tiada kalaupun tidak membawa sebarang makna?

Barangkali itu lebih baik untuknya..


P/s - Bukankah dia satu ujian, pada setiap masa, bagi kita yang ada hampir segalanya? Bahawa ciptaan Tuhan tiada yang sia sia?



2 comments:

laili said...

Salam....
Saya dapat bayangkan adik kecil itu..
Setiap kejadian ada hikmahnya,Allah Maha Mengetahui..
Doa perlu dipanjatkan agar hidupnya diberkati Illahi..
Kita tak harus butakan mata, tutupkan hati atau salahkan takdir..Doa dan kasih sayang?
Hanya itukah yg kita ada? Renungkanlah...
Rasulullah pernah berpesan : Ingat lima perkara sebelum lima perkara, sihat sebelum sakit,
lapang sebelum sempit,
muda sebelum tua,
kaya sebelum miskin,
hidup sebelum mati.
Masih kubayangkan lagi adik kecil itu...

Anonymous said...

dan aku masih..

i feel your pain

i feel your pain
audrey & nurul hanis